BLOGGER TEMPLATES AND Zwinky Layouts »

Wednesday, August 1

JODOH INI....


Jodoh ini..
Tiba kepadaku di saat diri ini dalam keraguan
Ragu-ragu akan pilihan yang Allah datangkan
Jika sebelumnya ku diuji dengan kesamaran dan kekeliruan
Keliru dengan bisikan hati sendiri dan kehendak keluarga
Namun, jodoh ini datang member keyakinan kepada hatiku, ibu ayahku..

Jodoh ini…
Datang kepaku di kala aku sedang menunggu
Menunggu insan yang terbaik yang Allah tuliskan untuk diriku
Dengan iringan usaha dan doa yang tidak putus kepada Nya
Agar dia datangkan yang terbaik untuk diriku
Dan kini ku yakini, dia telah menjawab doaku dengan jodoh ini..

Jodoh ini…
Datang kepadaku dengan penuh adab seorang Muslim
Mempamerkan akhlak empunya diri yang ku idami
Jika sebelumnya mana-mana yang datang mengetuk pintu hati ini
Tidak seperti jalan dirinya mengetuk pintu hatiku
Dengan penuh berhati-hati dan kerahsiaan terjaga
Dengan ini ku yakini, dialah jodoh yang kutunggu…

 Jodoh ini…
Ku yakini dia yang terbaik bagi diriku
Kerana, Allah hanya memberi yang terbaik bagi hamba Nya
Dan Dialah Maha Tahu apa yang terbaik untuk hamba Nya
Walau, ku diuji dengan keraguan hati dan kemahuan sendiri
Yang dilihat seseorang yang dirasakan cukup sempurna
Namun, hanya Allah yang tahu jodoh inilah yang terbaik…

 Jodoh ini…
Allah datangkan kepadaku pada waktu yang terbaik bagi diriku
Dia telah menjawab hajat dan pinta hamba Nya ini
Munajatku agar didatangkan jodohku pada saat yang  Dia Maha Tahu
Walau saat itu tidak ku sangka-sangka, walau mudah jalannya
Bila Dia mahu, maka “Kun Fayakun” ianya berlaku tanpa jangkaan hamba
Kini baru ku sedar, inilah ketentuannya dan inilah rezeki dari Nya
Betapa Dia yang Maha Tahu waktu yang terbaik untukhamba-Nya

Dengan jodoh ini…
Ku memohon lagi kepadanya, tanpa jemu ku menadah
Menadah tangan mengharap dari Nya lagi
Kerana Ku Tahu, Dia Maha Mendengar, Maha Mengabul pinta hamba
Moga Baitul Muslim ini adalah dari Nya yang telah dituliskan untuk kami
Moga Dia adalah pendamping hidupku sepanjang permusafiran di bumi Dia
Moga kami saling bertabah dan sabar dalam menelusuri denai-denai
Denai kehidupan di persinggahan ini, sebelum sampai ke tuju abadi
Moga dia dapat memimpin tanganku melangkah ke syurga milik-Nya
Moga kami dapat BERCINTA HINGGA KE SYURGA MILIKNYA yang seluas langit dan bumi


 "Teguhkanah aku dengan (adanya) dia,
Dan jadikanlah dia teman dalam urusanku,
Agar kami banyak bertasbih kepadaMu,
Dan banyak mengingatiMu,
Sesungguhnya Engkau Maha Melihat (keadaan) kami"
(Surah Taha : 31 - 35)

Permudahkanlah Ya Allah akan segala urusan kami,
Dekatkanlah hati-hati kami kerana Mu Ya Allah,
Satukanlah hati kami di bawah lembayung rahmat-Mu..
Amiiin

Sunday, July 29

KISAH DIALOG ANTARA IBLIS & NABI MUSA AS

Suatu hari iblis datang menemui Nabi Musa dan berkata,
"Wahai Musa, engkau adalah kalimullah (boleh berkata-kata dengan Allah), aku ingin bertaubat. Jadi,sampaikanlah kepada Allah."

Nabi Musa gembira mendengarnya lalu baginda berwudhuk dan berdoa kepada Allah dan berdialog dengan Allah memberitahu hajat iblis itu.

Lalu Allah berfirman kepada Nabi Musa,
"Iblis tidak akan bertaubat. Kalau betul iblis ingin bertaubat, beritahulah kepadanya satu syarat iaitu iblis mesti sujud di kubur Nabi Adam"

Kemudian Nabi Musa memberitahu Iblis syarat itu, nyatalah iblis memang makhluk yang sombong. Dia meludah dan berkata,
"Masa Nabi Adam pun aku tidak sujud kepadanya, apatah lagi ketika dia mati!" Betapa sombongnya iblis dan hajatny untuk bertaubat hanyalah main-main..

Iblis berkata, "Memandangkan engkau telah sampaikan kepada Allah perihal aku, aku ingin sampaikan kepadamu 3 perkara.."

"Ingatlah diriku ketika 3 keadaan ini:
1. Ingatlah aku ketika engkau MARAH, kerana aku ada di situ untuk meyalakan lagi api kemarahan itu.
2. Ingatkah aku ketika kamu ingin BERPERANG, kerana aku akan berada di situ membisikkan ke telingamu janagan tinggalkan rumahmu dan keluargamu.
3. Ingatlah aku ketika seorang lelaki dan seorang perempuan BERDUA-DUAAN kerana, aku adalah yang ketiganya.."

Thursday, July 26

IKTIBAR RAMADHAN

Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 26 Jul 2012
شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُ‌ۖ وَمَن ڪَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ‌ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ

Maksud: Bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Quran, menjadi petunjuk bagi  manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa ; (Al-Baqarah :185)

Petikan ayat ini bukan sahaja menegaskan wajib berpuasa dibulan Ramadan. Bulan yang mulia ini juga dipilih masa yang paling munasabah diturunkan Al Quran kitab petunjuk, keterangan-keterangan dan penjelasan kepada petunjuk, serta menegaskan pemisah yang mebezakan diantara dua perkara yang bertentangan. Ia bagi menentukan benar dan salah, adil dan zalim, petunjuk dan kesesatan daripada Allah Pencipta Alam Yang Maha Mengetahui segala-galanya dan bersifat dengan segala sifat kepujian.

Ibadat puasa bukan hanya sekadar ibadat yang terlalu besar pahalanya, tidak saperti ibadat lain yang dinyatakan pahala sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda. Allah menyimpan puasa itu disisinya dan berjanji untuk diserahkan pada hari qiamat kelak. Ibadat puasa juga adalah tarbiyah diri dengan sifat ikhlas dan kemuncaknya membuahkan taqwa yang menentukan nilai harga diri manusia disisi Allah. Menjelaskan bahawa martabat manusia bukannya keturunan, bangsa, pangkat, ilmu, harta dan warna kulit.

Apabila berpuasa dengan ikhlas bermakna kesediaan patuh kepada Allah di atas sifat hamba, sehingga  meninggalkan makan minum dan kepuasan hawa nafsu walaupun dihalalkan dimasa yang lain. Walaupun semua perkara yang membatalkan puasa itu adalah rukun hidup manusia secara tabie'nya. Kepatuhan menunaikan perintah itu secara memperhambakan diri kepada Allah, yang berbeza dengan patuh kepada sesama makhluk saperti ibubapa, ketua, raja dan pemimpin. Menunjukkan bahawa ketaatan kepada Allah adalah mutlak. Adapun ketaatan kepada sesama makhluk pula bersyarat selagi tidak berlawanan dengan perintah Allah. Ia menunjukkan bahawa hubungan hamba dengan Allah adalah Maha tinggi, berbeza dengan hubungan rakyat dengan raja dan pemimpin, hubungan pekerja dengan majikan, hubungan anak dengan ibu bapa.

Adalah menjadi hikmat paling besar Allah memilih bulan ramadan, bahawa Al Quran diturunkan seluruhnya ditempat mulia yang ditentukannya. Ada kalangan para ulama yang menamakannya dengan Bait Al Izzah dan ada yang menamakanya dengan Mawaqei’ Al Nujum.  Kemudian Al Quran diturunkan melalui wahyu oleh Malaikat Jibril A.S secara berperingkat mengikut sebab dan keperluan yang diatur supaya mendidik generasi awal yang menerimanya dengan cara paling berkesan. Ini kerana mereka menjadi contoh kepada seluruh manusia.

Al Quran adalah kalam Allah. Sifatnya yang wajib dinyatakan ke dalam bahasa Arab, bahasa pilihan Allah di dunia dan pada hari Qiamat. Al Quran juga adalah petunjuk daripada Allah kepada manusia dalam semua perkara yang berkait dengan kejadian mereka dan peranan mereka di alam dunia dengan cara yang betul. Allah memilih manusia berperanan dibumi kerana sifat kejadian mereka dan menguji kesetiaan mereka kepada Allah dengan kemampuan jasad, roh dan akal. Dengan kemampuan ini manusia mampu beribadat dibumi dan memakmurkan segala yang lain dengan petunjuk Allah dan kemampuan akal dan ilmu yang ada kepada mereka.

Ada kalangan manusia yang menerima perintah Allah itu dengan Islam (menyerah diri) dan Iman (percaya). Namun ramai kalangan manusia yang tidak bersyukur, lalu menjadi kufur dan sombong menolak petunjuk Allah dengan mencipta cara yang merosakkan diri manusia dan alam kelilingnya. Maka berlakulah perlawanan sengit dalam kalangan manusia itu. Rasulullah S.A.W. terpaksa berdepan dengan pertembungan yang membawa kepada perpecahan yang wajib berlaku, bermula daripada perbalahan sehingga terpaksa berperang kerana adanya kalangan manusia yang melampau. Maka menjadi ujian diantara hubungan dengan Allah yang lebih diutamakan atau hubungan dengan manusia yang wajib dijaga dengan semangat kekeluargaan dan persaudaraan.

Bulan ramadhan dipilih berlakunya peristiwa Badar dan Fathu Makkah. Rasulullah S.A.W. dituduh menjadi sebab perpecahan dalam satu bangsa dan satu keluarga kerana tidak bersedia  menerima tawaran menjadi Raja Makkah atau pemimpin bersama harta kekayaan dengan syarat yang ditetapkan supaya meninggalkan Islam, sama ada semua atau sebahagian. Puncanya para pemimpin Makkah tetap mempertahankan sistem jahiliyah dan menolak petunjuk Allah yang diamanahkan kepada Rasulullah S.A.W. menyampaikannya supaya dilaksanakan kepada seluruh manusia di seluruh dunia sehingga hari qiamat.

Allah mewajibkan kepada Rasulullah S.A.W. mencari tempat hijrah. Akhirnya berjumpa Madinah dan berbagai kaumnya yang bersedia menerima Islam sehingga ditegakkan negaranya. Maka Islam yang adil kepada seluruh manusia masyarakat majmuk dapat ditunjukkan secara nyata dan terbuka. Tiba-tiba para pemimpin Makkah berketuakan Abu Jahal membawa bala tentera menyerang Rasulullah dan para sahabatnya, kerana Islam yang diamalkan itu mendedahkan kejahatan dan kesesatan penentangnya. Kedua-dua belah pihak bertempur di tempat bernama Badar dan berlaku dibulan ramadhan.

Abu Jahal berdoa kepada Allah supaya membinasakan Muhamad yang dituduh membawa ajaran sesat dan memecahbelahkan keluarga dan bangsa. Rasulullah S.A.W. juga berdoa dengan munajat memohon pertolongan supaya Islam dan penganutnya diselamatkan. Kedua-dua belah pihak mengaku benar dan berdoa.

Akhirnya Allah mengurniakan kemenangan kepada Rasulullah S.A.W. dan para sahabat yang setia dalam keadaan terlalu kecil jumlahnya dan tidak mencukupi kelengkapan peperangannya. Bala tentera Musyrikin Makkah dikalahkan. Abu Jahal pemimpin utama dan ramai kalangan para pemimpin dibunuh dan ramai yang ditawan dengan hina walaupun jumlahnya berlipat kali ganda dan lengkap bersenjata.

Allah menamakan hari Badar dengan Hari Furqan (pemisahan diantara dua pihak), daripada satu bangsa dan satu keluarga. Menjadi peristiwa yang menguji diantara perasaan beriman dan cintakan Allah bertembung dengan perasaan kasihkan keluarga dan bangsa. Maka Allah menentukan supaya hubungan dengan Allah mengatasi hubungan dengan sesama manusia. Walaupun kalangan paling hampir hubungan kekeluargaannya. Allah  memberi sanjungan paling tinggi kepada mereka yang berjaya dalam ujian perasaan dan peperangan dalam peristiwa Badar dengan firmannya :

يا أهل بدر اعملوا ما شئتم , قد غفرت لكم .

(wahai Ahli Badar! Lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu, kerana aku telah mengampunkan kamu).

Di bulan ramadhan juga berlakunya Fathu Makkah (Makkah di bebaskan). Apabila negaranya yang dipimpin oleh Abu Sufian (bapa mertua Rasulullah S.A.W.) yang dilantik selepas terbunuhnya Abu Jahal dalam peperangan Badar. Apabila pengikut Abu Sufian mencabuli perjanjian damai (Hudaibiyah) dan apabila qabilah yang bernaung di bawah kerajaan Islam diserang oleh kabilah yang berpihak kepada Makkah. Maka Rasulullah S.A.W. menggerakkan bala tentera Islam menyerang Makkah (tanah airnya sendiri) yang dikuasai oleh keluarga dan bangsanya sendiri, bukannya bangsa asing atau makhluk asing. Akhirnya Abu Sufian dan pengikutnya menyerah kepada Islam dan masuk Islam. Rasulullah S.A.W. mengisytiharkan pengampunan umum yang tidak diduga oleh mereka yang pernah berlaku zalim terhadap Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya, menyebabkan hati mereka terbuka beramai ramai menerima Islam dengan redha tanpa paksaan.

Semua perkara tersebut adalah hikmat ramadhan yang tinggi nilainya kepada seluruh alam, khususnya kepada umat Islam. Hidayahnya! Bahawa Islam yang menyelamatkan diri, keluarga, bangsa dan tanahair. Maka Islam hendaklah diutamakan dengan melaksanakan rukun puasa sehingga membuahkan taqwa dan menegakkan Islam diutamakan, perintah Allah didahulukan, sehingga mengatasi kepentingan diri.  Begitulah makan minum, hawa nafsu yang dihalalkan diketepikan dahulu, apabila berpuasa kerana Allah dengan ikhlas.
 
- Hari ni dah masuk hari ke-7 kita berpuasa..Bagaimanakan dengan amalan kita selama 6 hari yang lepas? Adakah bertambah? Atau sama sahaja?? Atau berkurang??? Muhasabahlah wahai diri..Maknakan Ramadhan kali ini, MUNGKIN RAMADHAN KALI INI ADALAH YANG TERAKHIR BUAT KITA?!

Friday, June 22

BERCERITA TENTANG JODOH…

Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha. Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha. Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.

“Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya,” kata seorang abang yang sangat saya hormati. “Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?”
 “Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya,” jawabnya pendek.
 “Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada ruangan sosial seperti Facebook dan Twitter?” gurau saya.
 “Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain…”

Dalam diam, saya rasa hairan. Wajahnya saya tenung. Dia orang yang sangat saya hormati. Sahsiah dan kepimpinannya sangat menawan hati. Tentu ada sebab yang solid untuk dia bersikap demikian.
“Sebelum aktif sebagai aktivis Islam seperti sekarang, saya pernah menjalin hubungan cinta. Dia teman lama sejak di sekolah rendah lagi,” jelasnya dengan tenang.
“Habis mengapa putus?” “Kami putus kerana dia ada jalan tersendiri. Saya ajak bersama saya dalam perjuangan Islam ini tetapi dia selesa dengan gayanya. Lepas, bebas. Jadi kami berpisah setelah 10 tahun bercinta.”
Wah, ini kisah cinta yang dramatik! Saya tidak sangka sama sekali dia yang selama ini kelihatan begitu iltizam, tegas dan berwibawa pernah melalui tragedi cinta.

 Isteri Amanah
“Itu kisah sebelumnya. Tetapi bagaimana dengan kisah pertemuan dengan isteri abang sekarang?” kata saya beralih kepada maksud asal pertanyaan.
“Setelah putus, abang terus pinta guru agama carikan jodoh. Ingin fokus kepada gerakan dan amal Islami tanpa diganggu gugat lagi oleh emosi cinta.”
“Tetapi mengapa abang tidak mahu melihat bakal isteri pilihan guru? Tidak dibenarkan?”
 “Itu keputusan personal saya. Guru memberi kebebasan. Mahu melihat dulu, silakan. Tidak mahu, tidak mengapa.”
“Dan abang memilih untuk tidak melihat. Kenapa?”
 “Eh, kamu masih tegar dengan soalan asal? Begini, bekas kekasih abang dulu sangat cantik. Abang takut perasaan abang diganggu oleh godaan perbandingan. Takut-takut, bakal isteri tidak secantik kekasih lama. Jadi abang tekad, nikah terus tanpa melihat wajahnya.”

Saya terkesima sebentar dan dengan pantas saya bertanya kembali, “Tetapi abang akan terpaksa juga membuat perbandingan setelah bernikah bukan? Setelah nikah, abang akan melihat wajahnya. Dan ketika itu mahu tak mahu godaan perbandingan akan datang juga.”
Sekali lagi dia senyum. Matanya bersinar-sinar dengan keyakinan. Jauh di lubuk hati, saya mengakui, dia memang bercakap dari hatinya.
“Amat jauh bezanya antara membandingkan wanita lain dengan bakal wanita yang akan kita nikahi dengan wanita yang telah kita nikahi…” Pendek dia menjawabnya, namun terus menusuk ke hati saya.
Tanpa saya pinta dia menyambung, “Apabila seorang wanita telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh Allah untuk kita bimbing dan pimpin menuju syurga. Nasib kita dunia dan akhirat sangat berkait rapat dengannya. Dia adalah jodoh yang ditakdirkan buat kita. Dialah wanita yang pasrah dan menyerah kepada kita atas nama Allah. Pada waktu itu, bagaimanapun keadaan wajahnya, siapa pun dia, sudah menjadi soal kedua.”

Cantik Itu Relatif dan Subjektif
“Abang tidak takut, kalau tiba-tiba wajah atau keadaannya tidak serasi dengan cita rasa abang? Maksudnya, er… er… kita masih manusia bukan?” saya menduga hatinya. Dia ketawa tiba-tiba.
“Ya, kita masih manusia. Tetapi kita bukan sekadar manusia. Kita hamba Allah dan khalifah. Isteri ialah teman kita untuk memikul amanah dua misi berat itu. Untuk melaksanakannya, kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita, tetapi ilmunya, akhlaknya, sifat pengorbanannya dan kesetiaannya.”
“Jadi, untuk itu kecantikan tidak penting?”
“Semua yang datang daripada Allah ada kebaikannya. Namun ingat, Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita berbanding kita sendiri. Sesiapa yang tekad menjadi hamba Allah dan khalifah, pasti tidak akan dikecewakan-Nya. Orang yang baik berhak mendapat yang baik, bukan begitu?”
“Bukan yang cantik?” jolok saya lagi.
“Cantik itu relatif dan sangat subjektif. Beauty is in the eye of the beholder, bukankah begitu? Cita rasa manusia tentang kecantikan tidak sama. Malah ia juga berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan. Tetapi yang baik itu mutlak dan lebih kekal sifatnya,” balasnya dengan yakin.
“Maksud abang?” Dia diam. Termenung sebentar. Mungkin mencari-cari bahasa kata untuk menterjermahkan bahasa rasa.
“Kecantikan seorang wanita tidak sama tafsirannya. Orang budiman dan beriman, menilai kecantikan kepada budi dan akhlak. Pemuja hedonisme dan materialisme hanya fokus kepada kecantikan wajah dan daya tarikan seksual.”
Ketika saya ingin menyampuk, dia menambah lagi, “Cantik juga relatif mengikut keadaan. Jelitawan sekalipun akan nampak hodoh dan membosankan apabila asyik marah-marah dan merampus. Sebaliknya, wanita yang sederhana sahaja wajahnya akan nampak manis apabila sentiasa tersenyum, sedia membantu dan memahami hati suami.”
“Oh, betul juga tu!” kata saya. Teringat betapa ada seorang kenalan yang sering mengeluh tentang isterinya, “Sedap di mata tetapi sakit di hati…”  

Wasilah Memilih Jodoh
“Bagaimana sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?” ujar saya dengan soalan nakal.
“Memang dari segi kecantikan, isteri abang sekarang biasa-biasa sahaja.” “Maksudnya yang dulu lebih cantik?”
“Kamu ni, fikirannya masih berkisar dan berlegar-legar di situ juga. Ingat, yang biasa-biasa akan jadi luar biasa cantik apabila makin lama kita bersama dengannya. Itulah pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan isteri semakin terserlah. Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu atau hati ini?”
Wah, dia seakan berfalsafah! Kata-katanya punya maksud yang tersirat. “Apa kaitannya dengan hati?” layan lagi. Ingin saya terus mencungkil mutiara hikmah daripadanya.
“Kalau hati kita indah, kita akan sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya kalau hati rosak, keindahan tidak akan ketara, sekalipun sudah tampak di depan mata. Atau kita mungkin akan mudah bosan dengan apa yang ada lalu mula mencari lagi. Percayalah, orang yang rosak hatinya akan menjadi pemburu kecantikan yang fatamorgana!” ‘Ah, tentu dia bahagia kini!’ bisik hati saya sendiri.
“Apa panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?”
Pilihlah jodoh dengan dua cara. Pertama, jadilah orang yang baik. Insya-Allah, kita akan mendapat jodoh yang baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang baik akan memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita.”

 Jadi Orang Baik dan Pilihan Orang Baik
“Tapi bang, ramai yang menolak kaedah kedua. Kata mereka, mana mungkin kita menyerahkan hak kita memilih jodoh sendiri kepada ibu bapa, guru atau individu-individu lain sekalipun mereka orang yang baik-baik.”
“Tak mengapa. Kalau begitu, guna cara pertama, jadilah orang yang baik.”
“Itu susah bang. Bukan mudah hendak menjadi orang yang baik. Ia satu proses yang panjang dan sukar menentukan apakah kita sudah jadi orang yang baik atau belum.”
Abang tersenyum lantas berkata, “Kamu menyoal bagi pihak orang lain bukan?” Saya diam. Dalam senyap saya akui, inilah soalan yang sering diajukan oleh para remaja di luar sana.
“Kedua-dua cara itu boleh dijalankan serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang yang baik, insya-Allah, Allah akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui pilihan orang baik. Ataupun kita berusaha menjadi orang yang baik sambil mencari orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita itu direstui oleh orang yang baik!” Wah, kedengaran berbelit-belit ayatnya, namun jika diamati ada kebenarannya.
“Tetapi ada juga mereka yang menolak pilihan orang yang baik bukan?”
“Kerana mereka bukan orang baik,” jawabnya pendek.
“Bukan, bukan begitu. Bolehkah terjadi orang baik menolak pilihan orang yang baik?”
“Ya, tidak mengapa. Tetapi mereka tetap menolaknya dengan cara yang baik. Itulah yang terjadi kepada seorang wanita yang bertanyakan haknya untuk menerima atau menolak jodoh yang dipilih oleh ibu bapanya kepada Rasulullah s.a.w.”
“Apa hikmah di sebalik kisah itu bang?”
“Kita boleh melihat persoalan ini dari dua dimensi. Pertama, mungkin ada anak-anak yang tidak baik menolak pilihan ibu bapa yang baik. Hikmahnya, Allah tidak mengizinkan orang yang baik menjadi pasangan orang yang tidak baik. Bukankah Allah telah berjanji, lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya?” Saya terdiam. Benar-benar tenggelam dalam fikiran yang mendalam dengan luahan hikmah itu.

Jodoh Urusan Allah
“Dan mungkin juga anak itu orang baik tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih calon yang tidak baik sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat membenarkan si anak menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk menyelamatkan orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat.” “Bagaimana pula jika anak itu baik, dan ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu bapanya juga baik, tetapi urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?” tanya saya inginkan penjelasan muktamad. “Itulah takdir! Mungkin Allah menentukan ‘orang baik’ lain sebagai jodohnya. Sementara orang baik yang dicadangkan itu telah Allah tentukan dengan orang baik yang lain pula!”

Tiba-tiba saya teringat bagaimana Hafsah yang dicadangkan untuk menjadi calon isteri Sayidina Abu Bakar oleh ayahnya Sayidina Umar tetapi ditolak. Akhir Hafsah bernikah dengan Rasulullah s.a.w. Kebaikan sentiasa berlegar-legar dalam kalangan orang yang baik!
“Jodoh itu urusan Allah. Sudah dicatat sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang baik. Cuma sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat pasangan hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah.”
“Apa hikmahnya kes yang berlaku sekali-sekala seperti itu?”
“Eh, abang bukan pakar hikmah! Tetapi mungkin Allah hendak meninggikan lagi darjah dan darjat orang baik ke tahap yang lebih tinggi.”
“Hikmah untuk kita?”
“Jika takdirnya pahit untuk kita, terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah berusaha menjadi orang yang baik dan kita telah pun bernikah dengan pilihan orang yang baik, tetapi jika takdirnya pasangan kita bermasalah… bersabarlah. Katakan pada diri bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat syurga. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi Ayyub atau kesabaran seorang isteri bernama Siti Asiah.”

Tok, tok, tok. Tiba-tiba pintu bilik tulis saya diketuk. Wajah watak “abang bayangan” saya pergi tiba-tiba. Tersedar saya daripada lamunan yang panjang. Wajah isteri terserlah di sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam hati sendiri, apakah aku telah menjadi insan yang baik untuk memperbaikinya?
Ah, hati dilanda bimbang mengingatkan makna satu ungkapan yang pernah saya tulis dahulu: “Yang penting bukan siapa isterimu semasa kau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah denganmu. JAdi, janji Allah tentang lelaki yang baik untuk wanita yang baik bukan hanya berlaku pada awal pernikahan, tetapi di pertengahannya, penghujungnya malah sepanjang jalan menuju syurga!”

P/S
Nota hati: Pulang dari Kelantan hujung minggu lalu dengan badan yang sarat dengan keletihan. Namun hati dan fikiran sarat dengan iktibar dan pengajaran. Berlegar di sekitar kuliah Hari Jumaat di bandar KB, mendengar. merasa dan melihat. Yang indah, bukan tanahnya, tetapi manusia yang menegakkan hukum Allah di atasnya. Mungkin sesuatu yang kelihatan sederhana pada pandangan mata, tetapi sangat cantik bila dipandang dengan mata hati.

Begitulah rasa hati… semoga kita semua kembali kepada Ilahi, kerana di sana ada keindahan yang hakiki dan abadi. Berfikir tentang jodoh anak-anak, adalah satu cabaran yang dipenuhi pelbagai misteri. Ia sukar ditebak dan diduga. Namun, pesan saya cuma satu… untuk anak sendiri dan anak-anak di luar sana, ikutlah syariat, pasti selamat. Islam itu sejahtera. Tidak ada kebahagiaan tanpanya. Ya, kesalahan dan kesilapan boleh berlaku - ada ampun, maaf dan taubat di situ. Namun mukmin sebenar tidak akan jatuh dalam lubang yang sama dua kali. Cukup hanya sekali… pertama, kerana kejahilan. Maka belajarlah. Kalau kedua, itu kerana kedegilan. Hubaya-hubaya, kekadang harga yang ditagih untuk ‘membetulkannya’ terlalu pedih dan menyakitkan.

Belajarlah melakukan yang benar dan betul buat pertama kali. Itu yang terbaik. Tetapi jika tidak, cubalah membetulkannya buat kali kedua, ketiga dan seterusnya. Jangan jemu untuk cuba melakukan yang terbaik, kerana kata bijak pandai: Kebaikan itu perlu dimulakan berkali-kali!  

AMARAN: INI ADALAH HASIL COPY PASTE DR BLOG GENTA RASA!=) sekadar perkongsian dan peringatan bersama^^

Saturday, March 17

Sabarnya Rasulullah

Suatu hari Rasulullah melintasi sekumpulan wanita, lalu baginda memberi salam. Namun, tidak seorang pun yang menjawab salam baginda. Menganggap mungkin mereka tidak mendengarnya, lalu baginda memberi salam sekali lagi.

Masih juga tiada jawapan dari mereka. Untuk kali ketiganya, baginda sekali lagi memberi salam. Barulah mereka beramai-ramai menjawab salam Nabi SAW.

Agak kehairanan dgn sikap mereka, baginda terus bertanya mengapa mereka tidak menjawab salam pertama dan kedua baginda.
Mereka menjawab, "Kami sengaja mahu Rasulullah mendoakan untuk kami."
Fahamlah baginda kerana ucapan salam merupakan suatu doa. Mereka mahu doa adrai seorang kekasih Allah sebanyak 3x..

SUBHANALLAH HEBATNYA AKHLAK RASULULLAH SAW, baginda dpt bersabar walaupun dicabar begitu bagi seorang lelaki...Bagaiman dgn kita jika mhadapi situasi begini? Dapatkah kita BERSABAR?

Friday, March 2

Mari Belajar Mandarin 2

Kelas Kedua (Di’er Ke)

Baba = ayah
Mama = emak
Gege = abang
Jiejie = kakak
Didi = adik lelaki
Meimie = adik perempuan
Peng you = kawan
…..nan = lelaki
…..niu = perempuan
Xiansheng = suami
Taitai = isteri
Jingli = pengurus
Mishu = setiausaha

Huihua 1
Huang Lihua : Ni jiao shenme mingzi?
(Awak dipanggil dengan nama apa?)
Halin : Wo jiao Halin. Ni ne?
(Saya dipanggil Halin. Awak pula?)
Huang Lihua : Wo jiao Huang Lihua.

Huihua 2
Wang Meiling : Zhe shi we de pengyou Ali.
(Ini ialah saya punya kawan Ali)
Li Jiaming : Ali, ni hao.
(Ali, apa khabar?)
Ali : Ni hao. Ni guixing?
(Saya baik. Awak punya nama surname?)-pertanyaan kepada orang cina
Li Jiaming : Wo xing Li, jiao Jiaming.
(Saya punya surname Li, dipanggil Jiaming)

Huihia 3
Li Jiaming : Xiojie, Wang jingli zai ma?
(Cik, pengurus Wang ada?)
Chen mishu : Zai. Ni guixing?
(Ada. Awak punya nama surname?)
Li Jiaming : Wo xing Li, jiao Jiaming.
Chen mishu : Li xiansheng, qing deng yixia.
(Encik Li, sila tunggu sebentar)
Li Jiaming : Haode, xiexie.
(Baiklah, terima kasih)

Setakat ini sahaja dulu pelajaran untuk hari ni, nati saya kongsikan lagi pelajaran seterusnya..
Teruskan membaca=)
Xiexie…

Mari belajar Bahasa Mandarin (Huayu)

Semester ini saya amik kelas Mandarin, saje nak belajar bahasa Mandarin. Mana tahu, bila kerja nanti ada kawan berbangsa cina boleh la cakap sikit-sikit bahasa cina…Dalam kelas ni, kami hanya belajar percakapan/ perbualan, tak belajar tulisan cina pun..Tak apa lah, sekurang-kurangya boleh bercakap sikit-sikit dan boleh faham apa yang orang cina bualkan (yang simple-simple jela tapi..)

Jadi, saya nak kongsikan apa yang saya dah belajar selama 2 sesi kelas Mandarin yang telah saya hadiri. Guru yang mengajar kami adalah Zhang Laoshi (Zhang = nama, Laoshi = cikgu). Bahasa Mandarin (untuk percakapan) disebut “Huayu”. Kalau tulisan, ia disebut “Huawen”. Jadi, apa yang kami belajar ni ialah Huayu…
Saya tulis jelah perkataan apa yang saya belajar ye, tp klu ikutkan kena letak tanda nada (-, /, ,∕, √ ) di atas hurul vokal a, e, i, o, u dalam setiap perkataan, mengikut turutan/ didahulukan a ke u..Setiap tanda nada mewakili bunyi sebutan yang berbeza. (Cth: Huáyŭ)Tapi macam susah nak taip, so saya tulis perkataan tanpa nada jela ye…

Kelas pertama

Zao shang hao = selamat pagi
Zhong wu hao = selamat tengah hari
Xiawu hao = selamat petang
Wan shang hao = selamat malam
Wan’an = selamat pulang (apabila berpisah)
Ni hao = selamat sejahtera

Wo = saya Women = kita
Ni = awak Nimen = Kamu semua
Ta = dia Tamen = Mereka
Dajia = semua orang
Xiansheng = encik
Xiaojie = cik

Contoh ayat:
Wo jiang huayu = Saya bercakap bahasa Mandarin
Hashan Xiansheng, zao shang hao = Encik Hasan, selamat pagi

Contoh perbualan:
Huihua ei (1) : Dialog 1
Wang Meiling : Zhang Laoshi, xiawu hao.
Zhang Laosh : Wang xiaojie, xiawu hao

Huihua er (2) : Dialog 2
Ali : Hashan xiansheng, ni hao.
Hashan : Ali xiansheng, ni hao.

Huihua 3
Wan Meiling : Ali xiansheng, ni hao ma?
(Encik Ali, kamu apa khabar?)….Ma adalah pertanyaan untuk ‘apa’
Ali : Wo hen hao, xiexie
(Saya sangat baik, terima kasih)
Wan Meiling : Ni mang ma?
(Awak sibuk ke?)
Ali : Hai hao, bu mang.
(Boleh lah, tidak sibuk)
# Klu sibuk : Wo hen mang.

Huihua (4)
Imah : Hao jiu bu jian, ni hao ma?
(Sudah lama tidak berjumpa, awak apa khabar?)
Nani : Wo hen hao, xiexie.
(Saya sangat baik, terima kasih)

Kelas kedua, to be continued.....~stay tune!

Monday, February 27

Luahan Hati

Pagi tadi saya berkesempatan untuk berjumpa dengan seorang lecturer, Prof Abbas (foreigner dari Pakistan klu tak silap) untuk pertama dan terakhir kalinya sebagai mentee nya. Beliau merupakan mentor saya selama 4 tahun tapi hanya di Tahun 4 saya baru memperkenalkan diri sebagai mentee beliau. Oww how can I say this? It is my fault or anyone else? Takkan la saya nak menyalahkan orang lain plak kan , mesti la point kat diri sendiri kn? Mugkin jadi 'terpaksa' berjumpa sebab nak amik signature endorsement subjek utk sem ni yang baru diaplikasikan pada semester ini? Untung jgk, boleh saya borak2 dengan mentor saya sebelum saya keluar huhu.. Sebelum ni beliau pernah mengajar saya untuk subjek Pathology semasa Second Year.

Seriosly, session td is like a lit bit ‘kesedaran’ la kepada saya as a Muslim student. Prof Abbas bertanyakan kepada kami (sbb sy pergi dgn kwn saya), “What ur comment on kulliyyah in your opinion as a final year student”? Owh no….Sy dah agak dia akn tanya soalan ni, sbb ni spot question yang dia pernah tanya kat kwn sy yg pnah berjumpa dgn dia sebelum ni…

Sy berfikir sejenak…Ermmm…Sy tanya beliau balik, “In what aspect do you want to me answer your question?” Beliau jawab, “You can give your opinion as a whole or it’s up to you to comment on what aspect”…Then saya jawab, “In my opinion, this semester is the "most leasuring" for us, I mean, the previous 7 semester that we had faced before is very busy. Busy with classes and lab in whole days, then assignments and reports etc” Saya menjawab hanya sekadar untuk menyatakan kondisi kami sekarang dan meluahkan perasaan, actually tak dela menjawab soalan sangat huhu…Tapi, memang. Saya sangat mengaku, kehidupan sebagai seorang pelajar farmasi sangat busy dan menekankan, contonhnya, dalam satu hari kami akan ada kelas biasanya pkul 8 am - 12.30 pm then lab sampai 4.30 pm @ 5 pm...Kalau klas stat pkul 9 memang dah hooray dan kalau takde kelas petang memang sangat hooray huhu...Begitulah dari tahun 1 hingga Tahun 4 (Sem 1)

Pastu Prof Abbas Tanya balik, “So, you were busy before..Busy for everything or nothing?”….GULP! Ops, terperangkap dengan statement sendiri huhuh. Betul jgk dengan apa yang Prof Abbas Tanya 2, aku jadi tersentak, memikirkan balik dan flashback diriku selama 3 tahun yang lepas, adakan aku betul2 busy for everything, mean that, betul2 busy belajar dgn sebaiknya ataupun hakikatnya, rasa busy tp tak ada hasil/input apa2 pun???Tima kasih Prof Abbas kerana menyedarkan saya akan hakikatnya kondisi saya yang sebenar….

Betul sebenarnya takut untuk melangkah ke alam kerjaya yang desas-desus mengatakan amat mencabar. Do you know why? Sy akan grad sebagai seorang pharmacist tetapi, adakah ilmu farmasi yang saya belajar selama 4 tahun di alam kampus betul2 saya telah hadam untuk melayakkan saya dipaggil sebagai seorang ahli farmasi? Adk2 jnior cakap kat snior2, “Best la akak dah nak abis belajar, nati boleh kerje…” Adk2 sekalian, sebenarnya kami amat takut untuk melangkah keluar dari pintu university ini, tambah2 lagi bidang kami ini adalah kerjaya yang dikatakan kritikal di sektor kesihatan. Semua pasal ubat kami perlu tahu kerana kepada farmasilah semua health practitioner lain akan menjadikan kami tempat rujukan dan kena 'deal' dengan patient pasal ubat-ubatannya dan memberi kaunseling kepada patient.

Jadi, sebagai seorang senior yang bakal menamatkan alam pengajian di peringkat ijazah ini, saya nak menasihatkan adk2 yang masih lagi berada di bangku universiti sekarang, kamu semua ada banyak masa lagi untuk sedar dan memperbaaiki diri dan berusaha bersungguh-sungguh, sebagai seorang pelajar dan itu merupakan akhlak yang perlu ada sebagai seorang Muslim (Itqan dalam setiap perkara). Dan, jangan jadikan alasan jika anda terlibat dengan persatuan atau aktif dalam mana-mana gerakan usrah ataupun mengaktifkan diri secara sukarela dalam program2 luar kelas, akak tak nafikan, aktiviti itu semua juga tersangat penting untuk kite ‘improve’ diri kita terutamanya dari segi pembangunan diri, softskill, menjalin ukhwah dan menambah pergaulan dengan ramai org dll. Namun, jangan jadikan kesibukan kita dengan aktiviti luar sebagai alasan apabila kita tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran, yang merupakan tujuan asal kita menjejakkan kaki ke university, iaitu untuk mendalami ilmu dalam bidang kita.

Kewajipan kita sebagai seorang Muslim, bak kata Prof Abbas, “We are Muslim and you are as a Muslim’s student, should be competence and criticize to be the best one to educate and bring our ummah to the higher level,” Sungguh terkesan kata-kata Prof Abbas itu. Tapi, saya rasa belum terlambat lagi untuk saya memperbaiki diri untuk menjadi Muslim’s student yang ITQAN yakni bersunguh-sunnguh dalam menuntut ilmu dan menjadi seorang yang kritis dan kreatif untuk berjaya, selagi ada 1 semester lagi ni.

Ya, umat Islam perlu banya berfikir. Saya akui, sangat sedikit saya berfikir dan kadang-kadang malas berfikir. Huh? (Anda pernah begitu? Rasa macam, “Malas la nak pikir” huhu). Seperti kata Ustaz Pahrol, “Umat Islam perlu banyak fikir dan zikir" Buku: Nota Zikir untuk Fikir)untuk menjadikan kita umat Islam yang cemerlang. Seperti juga kata-kata John C. Maxwell dalam bukunya "How Successful People Think" dalam edisi Bahasa Melayu: "Mereka yang membangunkan proses oemikiran yang baik mampu mengawal fikiran dan hidup mereka sendiri....Dalam erti kata lain, mereka ynag pandai berfikir selalunya berjaya!"

Marilah kita sama-sama berubah dan meperbaiki diri kerana tiada istilah terlambat selagi kita punya masa dan sebelum nyawa sampai di halkum. Rasa nya setakat ini dulu saya nak kongsi buat masa ni, sebenarnya, banyak yang saya nak kongsi dan nak menulis sebelum ni, tapi kenapa rasa malas tatkala datang menyerang diri. Astaqfirullah! Kena renung balik di mana silapnya….Akhir nasihat saya, bersungguh-sungguhlah kita dalam setiap perkara yang kita lakukan kerana mungkin kita hanya ada satu peluang ini sahaja di dalam hidup ini untuk sesuatu perkara dan jarang akan hadir peluang kedua untuk diri kita. Jadi, hargailah apa yang ada di depan mata dan apa yang kita tempuhi sekarang, sebelum ianya berlalu pergi dan kita meninggalkannya...
Wallahua’lam..

Tuesday, February 21

JOM BACA~Carilah Untukmu Seorang Imam

Abang..hari tu ingat period dah habis. Ayang dah mandi, dah solat. Tapi hari ni keluar balik..kira period balik ke bang? “

” Maybe kot. Try search kat google..”

” Dah tapi macam tak paham sangatla bang. Erm, Kak Erma cakap dekat masjid belah pagi ada kuliah muslimat, ada ustazah ajar masalah-masalah macam ni..”

” Buat apa..cari je kat youtube. Banyak kuliah-kuliah dalam tu. Lagipun abang sibuk, mana sempat nak hantar nak ambik kat masjid..”

Dan si isteri terus terdiam. 3 tahun perkahwinan, isu yang sama berulang, si suami pula terus menerus memberi alasan.

*****************

Asal kepada seorang wanita adalah pengikut. Ertinya, dia berhajat kepada pemimpin dan pembimbing.

Asal kepada seorang lelaki pula adalah ketua. Ertinya dia merupakan seorang pemimpin dan pembimbing.

Sebab itu dianalogikan suami sebagai imam.

Apa peranan imam dalam solat?

Guide makmum, kan? Apabila selesai dibaca Al-Fatihah, makmum mengaminkan bacaan tersebut. Apabila imam rukuk, makmum ikut rukuk. Apabila imam sujud, makmum ikut sujud.

Bagaimana pula jika imam tersalah rakaat? Atau terlupa dalam bacaan surah?

Makmum menegur. Lelaki bertasbih, perempuan bertepuk. Ada tatacara dan tertibnya.

Analogi ini suatu yang besar jika benar-benar diaplikasikan dalam hidup.

Dalam solat, ada imam dan ada makmum dengan segala tatatertibnya.

Di luar solat, ada ketua dan ada pengikut dengan segala undang-undang dan aturannya.

Begitulah indahnya Islam. Ia datang untuk menjernihkan hidup manusia dan memastikan manusia hidup dalam aturannya yang benar, betul dan tepat.


PERKAHWINAN

Ia bukan perjanjian sehari dua atau sebulan dua. Bukan juga sampai tua.

Ia perjanjian sampai mati.

Justeru, sebelum berkahwin, mesti fahami peranan masing-masing dalam perjalanan panjang tersebut.

Suami terutamanya. Jangan seronok sahaja kerana digelar ketua. Tetapi tidak pula bersedia bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang ketua.

Ada tanggungjawab yang besar Allah bebankan seusai lafaz akad nikahmu.

Jangan hanya seronok tersengih-sengih dan bergambar mesra ( kemudian ditayang sehabis bangga di alam maya ) tetapi bab bersuci pun entah ke mana. Haid dan nifas dianggap sebagai ‘bab orang perempuan’ yang tidak perlu diketahui oleh lelaki.

Sebab itu tidak pelik, ada suami menengking isteri bila disoal tentang itu.

” Awak kan perempuan? Hidup dah bertahun-tahun takkan awak tak pandai-pandai lagi bab tu?! “

Suami yang bertanggungjawab tidak akan mengungkapkan kata-kata seperti itu. Hakikatnya, ia adalah ungkapan alasan bagi suami yang mahu lari dari tanggungjawab.

Bukankah mengajar isteri fardhu ain itu suatu perkara wajib bagi suami?

Bukankah kalau isteri jahil tentang bab-bab haid, nifas, istihadhah dan sebagainya maka suami yang akan menanggung dosanya?

Bukankah menjadi kewajipan bagi seorang suami menghantar isterinya ke kelas agama jika dia tidak mampu mengajar perkara-perkara tersebut?


MENCARI SEORANG IMAM

Tak kacak tak apa, sebab lelaki memimpin bukan dengan kekacakan.

Tak kaya tak apa, sebab kekayaan bukan asbab hebatnya kepimpinan.

Ada lelaki rupanya tidak kacak, kulitnya gelap tetapi penampilannya kemas dan kefahaman agamanya cukup baik.

Namun ada ramai juga lelaki yang kacak, tetapi rambutnya panjang tidak terurus, pakaiannya selekeh dan tidak langsung menggambarkan ciri-ciri seorang pemuda Islam. Kefahaman agama dianggap perkara remeh.

Saya sebutkan ini kerana saya kira, memilih seorang imam tidak mudah.

Mungkin ramai wanita akan bertanya, bagaimana mahu memastikan dia seorang imam yang baik?

Ada yang merasakan lelaki kaki masjid itu terbaik sebagai imam.

Ada yang merasakan lelaki pandai bertazkirah agama itu terbaik sebagai imam.

Ada juga yang merasakan lelaki ‘berpengajian agama’ itu paling baik sebagai imam.

Saya geleng kepala.

Sungguh. Ia susah kerana sebagai manusia, kita hanya penilai zahiriah sedangkan batiniahnya, hanya Allah yang tahu.

Pun begitu, saya suka mencadangkan.

Sebagai wanita, anda diberi satu tempoh yang istimewa sebelum anda sah bergelar isteri kepada seorang lelaki. Tempoh itu dinamakan tempoh ‘suai-kenal’ atau istilah rasminya , bertunang.

Ramai orang tidak menggunakan tempoh ini sebaik mungkin. Ada yang belum apa-apa, sudah meletakkan ‘sepenuh ketaatan’ kepada si tunang. Ada yang melayan borak siang malam sampailah kepada bertemu di taman dan tengok wayang.

Jangan tiru tabiat-tabiat seperti itu. Bukan sahaja agama mengatakan ia sebagai tidak baik, bahkan akal juga mengatakan demikian.


MANFAATKAN TEMPOH BERTUNANG

Itulah satu-satunya tempoh terbaik untuk anda menguji sejauh mana si lelaki mampu menjadi imam kepada anda nanti.

Menguji itu tidak salah. Gunalah pelbagai method yang ada. Jangan mengintip dia di bilik tidur sudah.

Antara method yang mungkin anda boleh gunakan adalah, method perbincangan.

Jangan lupa, waktu berbincang itu, antara anda dan dia bukan suami isteri. Justeru, tidak ada ‘kewajipan’ sebagai isteri yang perlu anda tunaikan di ketika itu. Demand anda masih tinggi. Anda masih boleh mengatakan ‘tidak’ kepada dia jika tidak kena caranya.

Method berbincang, jika kena caranya, boleh memberi gambaran yang baik adakah si lelaki sudah menepati ciri-ciri seorang imam ataupun tidak.

Malangnya, method perbincangan ini tidak banyak digunakan dengan betul. Antara sebab utamanya adalah, sudah jatuh hati dan berpendapat, tiada jalan untuk berpatah balik melainkan meneruskan perkahwinan, biarpun tersingkap seribu kekurangan.

Tanpa sedar, ia mencacatkan hikmah sebuah pertunangan.


ASALKAN DIA BAIK ?

Biarlah dia tidak pandai agama pun, asalkan dia baik. Dia sayang saya, prihatin dan saya yakin dia mampu membahagiakan saya.

Alhamdulillah, anda telah menemui seorang lelaki yang baik.

Tetapi kita di sini tidaklah bercakap perihal baik atau tidak.

Sama juga dengan soalan skeptik : habis, orang tutup aurat semua baiklah?

Ustaz Azhar Idrus jawab : belum tentu, tapi orang yang baik mestilah akan menutup aurat.

Ini pun serupa. Bukanlah lelaki yang meremehkan soal agama itu tidak baik, tetapi seorang lelaki yang baik pastilah tidak akan meremehkan soal agama.

Dia pastilah seorang lelaki yang benar-benar mempunyai ciri-ciri seorang imam.

Nah, carilah lelaki jenis itu sebagai suami. Lelaki yang mampu menjadi imam, dalam dan luar solatmu.

Lelaki yang bertegas denganmu dalam hal-hal agama, dan berlembut denganmu dalam hal-hal dunia.

Bukankah dirimu mahukan perkahwinan itu sampai ke syurga? Bagaimana mungkin seorang lelaki yang tidak tahu jalan ke syurga boleh membimbingmu untuk sampai ke sana?

Buatlah pilihan dengan bijak.

Carilah untuk dirimu seorang IMAM, bukan semata-mata seorang jejaka.

Sekian.

Juz wany 2 share...from myilham.com

Sunday, February 12

Saudara SeIslamku di Syria!

Kenyataan ulamak terkenal Syria, Syeikh Muhammad Abul Huda Al-Ya'aqubi yang menyeru kebangkitan rakyat menentang kezaliman rejim Basyar:

Wahai rakyat Syria! Sesungguhnya rejim telah melakukan penyembelihan terbaru setiap hari di Homs dan di tempat-tempat lain yang dikepung, maka sudah sampai masanya untuk tidak harus kita duduk berdiam diri. Demikian itu kerana wajib kita membantu golongan yang lemah, mengharamkan mereka dari meneruskan pembunuhan, mempertahankan hak manusia. Ini kerana rejim hari ini sudah hilang kelayakan memerintah, maka kami mengeluarkan fatwa bahawa wajib bagi kita memikul senjata dan meniup semboyan bagi menghapuskan mereka yang membunuh secara berluluasa demi menyelamatkan nyawa-nyawa lelaki dan wanita, kanak-kanak dan warga tua di Homs, Zabdani, Dir Zur, Lazaqiyah, pinggir Halab dan semua bandar-bandar Syria. Ramai penduduk yang sudah disembelih, rumah-rumah dimusnahkan dan manusia yang dibunuh oleh skuad penembak. Oleh itu, kami mengeluarkan fatawa bahawa:

Pertama: Wajib bagi tentera dan polis rejim keluar dan menyelamatkan diri

Kedua: Wajib bagi pasukan tentera simpanan untuk menyertai tentera yang berpaling tadah dan tidak boleh bagi mereka menyertai tentera rejim. Wajib bagi rakyat memberikan bantuan sedaya mungkin kepada pasukan tentera yang berpaling tadah ini dari sudut perlindungan dan apa jua bantuan.

Ketiga: Wajib bagi para peniaga dan usahawan mengumpulkan sumbangan kewangan bagi membantu daerah yang dikepung.

Keempat: wajib bagi para ulamak dan khatib menyeru kepada kebangkitan selain mendirikan solat ghaib untuk roh mereka yang terkorban.

Kelima: Kami menyeru kepada penduduk Damsyik dan Halab menyertai kebangkitan ini

Keenam: Kami menyeru kepada para pegawai tinggi kerajaan, ahli-ahli politik dan pegawai diplomatik kerajaan untuk keluar dari pentadbiran rejim



MARI BERDOA DI SETIAP KALI SOLAT KITA...MEREKA SAUDARA KITA~