BLOGGER TEMPLATES AND Zwinky Layouts »

Saturday, July 4

Kuliah Jama’

Salam kesejahteraan kepada semua. Untuk post kali ini saya akan menjama’kan 3 kuliah yang telah disampaikan oleh Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan. Kuliah-kuliah yang dihadiri sebelum ini tidak sempat di’post’kan ke dalam blog ini. Entah kesibukan apakah yang melanda diriku ini…Kali ini ingin saya utarakan persoalan: tempat manakah yang boleh dicari lagi pemimpinnya yang dikategorikan sebagai ulama’ sanggup meluangkan dari masa sibuknya bersama rakyat untuk mencurahkan ilmunya kepada sekalian rakyat? Alhamdulillah, bertuah menjadi rakyat Kelantan mempunyai pemimpin yang sebegitu. Namun, dari pada itu ramai pihak yang cuba melawan dan suka mencari kesalahan pemimpin besar ini. Sungguh pelik..Apa yang mereka nak sebenarnya???Pelik sungguh! Sudah la menolak dasar pemimpin ini berjuang untuk Islam. Sama-sama Islam pulak 2…Begitula manusia ini; bila apa kita lakukan tak sama dengan cara dia mulalah mencari kesalahan dan membesar-besarkan apa yang dianggap bertentangan dengan dirinya tidak kiralah perbuatan dia sendiri yang salah atau sebaliknya.

“Jagalah dirimu dan keluargamu dari api nereka.”
Inilah tugas utama ketua keluarga. Tugas yang pertama-tama disoal oleh Allah kepada yang pernah memegang amanah sebagai seorang suami dan bapa kepada sebuah keluarga. Api neraka adalah api yang teramat sangat panas yang tidak boleh difikirkan akal manusia dan tidak akan dapat dirasai di dunia ini. Panasnya api neraka yang bahan bakarnya adalah dari batu dan manusia sendiri. Pada 19 Jun Tok Guru mrmbincangkan tafsir dari Surah Al-Hujurat ayat 7-8. Manusia kena faham (reti) bahawa Rasulullah SAW diutuskan kepada umat manusia untuk ajarkan suatu ajaran yang selari dengan fitrah manusia itu sendiri. Baginda berguru dan diajarkan oleh Allah sendiri (Tuhan Pencipta seluruh alam dan makhluk) melalui wahyu yang diturunkan oleh Jibril.Maka kita nak ikut siapa lagi selain mengikut ajaran Nabi Junjungan SAW yang tiada walau satu perkataan pun yang tidak benar kecuali benar belaka.

Rabbana hablana min azwajina wa zurriyatina qurrata a’yun waja’lna lil muttaqina imama “Ya Allah jadikan aku dan zuriat keturunanku golongan yang mendirikan solat dan pemimpin bagi orang yang bertaqwa”
Solat merupakan suruhan terpenting dalam agama syumul ini. Solatlah perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah di Hari Perhitungan kelak. Jika urusan solat dah tidak dapat ‘settle’, macam mana pulak dengan urusan-urusan perhitungan amalan lain yang pasti tersekat dek urusan pertama yang sudah tergendala….NA’UZUBILLAH! Namun, hanya Nabi Muhammad SAW yang satu-satunya boleh membantu dan memberi syafaat kepada umatnya. Perlu diingat! Carilah nama yang baik-baik dan nama yang mempunyai makna yang baik-baik untuk anak-anak kerana manusia akan dipanggil dengan namanya di padang Mahsyar kelak. Allah memberikan petunjuk dan hidayah kepada sesiapapun yang Dia kehendaki. Dan Allah jadikan mereka mukmin yang berkehendak kepada iman dan bencikan maksiat.

Pada 26 Jun bersamaan 3 Rejab, Tok Guru membicarakan perihal Isra’ Mi’raj. Nabi SAW dibawa ‘berjalan’ dari Masjidil Haram ke Masjid Aqso kemudian dinaikkan (mi’raj)ke langit yang sebanyak tujuh lapisan (Al-Isra’:1). Baginda dibawa oleh buroq iaitu makhluk Allah yang dijadikan daripada cahaya dan mempunyai bentuk seperti binatang. Masa peristiwa besar ini menjadi khilaf di kalangan ulama’. Sebelum Nabi SAW dinaikkan ke langit, Jibril terlebih dahulu menjalankan tugas membelah dada Nabi SAW dan menyucikan qalbu iaitu hati baginda. Di sinilah (hati) tempat duduk syaitan dan godaan syaitan adalah pada hati (jantung). Kerana kandungan dalam jantung adalah nafsu. Di sinilah terletak nafsu setiap insan. Dengan penyucian ini, di dalam diri Nabi Muhammad telah dibuang tempat tinggal syaitan di dalam hati baginda. Kemudian, qalbu baginda diisi dengan nur dan hikmah. Kita sebagai manusia biasa semestinya perlu berjihad melawan nafsu yang terletak di dalam hati.

Sebelum naik ke langit, Nabi SAW menunaikan solat dan menjadi imam kepada semua Nabi lain. Kemudian baginda dibawa oleh Jibril naik ke langit dunia melalui pintu (ada pintu). Di langit pertama Nabi SAW bertemu dengan Nabi Adam AS. Di sini baginda dapat melihat roh para syahidin (baik) di kanan manakala roh yang jahat di kiri Nabi Adam.Setiap tingkat langit baginda berjumpa dengan beberapa Nabi tertentu seperti Nabi Yusuf, Nabi Musa, Nabi Ibrahim dan lain-lain. Seterusnya ke Sidratul Muntaha dan Al-Baitul Makmur yang merupakan tempat para malaikat.

Hari 3 Julai, Tok Guru berceramah berdasarkan ayat 11 dalam Surah Al-Hujurat:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain; (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olok), dan jangan pula perempuan-perempuan (mengolok-olokkan) perempuan lain; (kerana) boleh jadi perempuan (yang diperolok-olokkan) lebih dari dari perempuan (yang mengolok-olok). Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil degan gelar-gelar yang yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman. Dan barang siapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
Segala amalan manusia buruk atau baik akan dicatat oleh dua malaikat yang tidak pernah leka dengan tugas mereka walau sesaat pun. Di akhirat nanti, harta kita adalah pahala yang telah kita perbuat di dunia dahulu.Ingatlah, jangan kita mencela dan mengejek orang lain kerana fizikalnya. Kerana, kita tidak tahu iman mereka dan kedudukan mereka di sisi ALLAH. Hanya iman dan ketaqwaan nilaian manusia di sisi Allah.

Wassalam...

0 comments: