BLOGGER TEMPLATES AND Zwinky Layouts »

Friday, December 12

DUA UMAR

Umar Al-Khattab adalah Amirul Mukminin, khalifah kedua selepas khalifah Abu Bakar As-Siddiq. Beliau terkenal dengan seorang khalifah yang adil dan pernah berkata, "Kalau orang itu kenyang, akulah orang terakhir yang akan kenyang. Kalau orang itu kelaparan, akulah orang pertama yang merasai kelaparan itu." Umar Al-Khattab terkenal dengan seorang khalifah yang suka meronda pada waktu malam. Pada suatu malam, setelah lama beronda, beliau berhenti rehat dan bersandar pada sebuah tembok rumah kecil di hujung Kota Madinah. Pada ketika itu, fajar semakin menyinsing. Kemudian, sayup-sayup kedengaran suara dua wanita di dalam sebuah rumah kecil. Berbualan itu adalah antara seorang ibu dengan anak perempuannya. Dua wanita tersebut sedang berdebat keran si anak tidak bersetuju dengan ibunya yang ingin mencampurkan susu perahan dengan air.

Ibunya berkata, "Campurkanlah susu itu dengan air!"

Anaknya pula membalas, "Amirul Mukminin melarang susu campuran."

"Khalifah Umar tidak melihat kita. Dia mungkin tidak akan mengetahui perbuatan kita!" balas ibunya.

Kemudian anaknya pula menjawab, "Wahai ibuku, jika benarpun Amirul Mukminin tidak mengetahui perbuatan kita tetapi Allah melihat kita. Sungguh demi Allah aku tidak akan melakukannya. Allah juga melarang perbuatan itu."

Kata-kata anak gadis itu menyejukkan hati Umar yang sedang mendengar perbualan tersebut. Jawapan yang berpaksikan kejujuran dengan keimanan, ketaatan kepada Allah dan perasaan yang diawasi oleh Allah. Setelah itu, beliau berlalu untuk menuju ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat Subuh. Apabila beliau kembali ke rumahnya, beliau masih lagi teringat-ingat akan pernyataan gadis tadi. Beliau kemudiannya memanggil anaknya yang bernama 'Ashim, yang ingin berkahwin. Umar menceritakan peristiwa awal pagi tadi yang telah dilaluinya. Beliau menyarankan anaknya untuk pergi ke rumah gadis tersebut. Beliau berkata, "Wahai anakku, pergilah dan nikahilah dia. Aku tidak melihatnya kecuali mendapatkan keberkatan. Semoga dia melahirkan zuriat yang memimpin Arab."

'Ashim kemudiannya menikahi gadis miskin yang wara' itu yang bernama Ummu Ammarah binti Sufyan bu Abdullah bin Rabiah ats-Tsaqafi. Kemudian, lahirlah puteri mereka yang digelar Ummu 'Ashim. Ummu 'Ashim berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan. Daripada pernikahan ini, lahirlah Umar bin Abdul Aziz, seorang khalifah yang zuhud, wara' dan bertaqwa. Di dalam diri Umar bin Abdul Aziz mengalir darah Umar bin Al-Khattab.

Kedua-dua Umar ini telah mengajarkan kepada kita banyak perkara. Antaranya, kesederhanaan dalam limpahan harta dan jawatan yang besar dan keteladanan seorang pemimpin. Mereka tidak hanya berbicara, tetapi juga menjadi pelaku pertama apa yang telah diperkatakan. Mereka betul-betul berpegang dengan ayat Allah dalam surah As-Soff ayat 3 yang bermaksud,
"Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu perkatakan sesuatu yang tidak kamu melakukannya."(As-Soff:3).
'Semakin jauh pemimpin dari keteladanan, semakin jauh juga rakyat daripada kepatuhan.'(rujukan). Kemudian, al-itsar (mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri). Banyak kali telah kita dengar cerita rondaan malam yang telah dilakukan oleh Umar Al-Khattab dan terdapat sebuah peristiwa Umar dengan seorang ibu yang memasak batu untuk mendiamkan anak-anaknya yang sedang menangis kelaparan. Ini bermakna, bukan sekali beliau melakukan rondaan malam. Ini semata-mata dilakukan untuk menjaga kebajikan rakyatnya. Marilah kita sama-sama mengambil pengajaran daripada kisah ini.

+++Rujukan: Buku BELAJAR DARI DUA UMAR (Hepi Andi Bastoni)+++

0 comments: