BLOGGER TEMPLATES AND Zwinky Layouts »

Wednesday, December 31

MENGINSAFI DIRI


31 Disember 2008...adalah hari terakhir untuk tahun 2008. Esok bermulanya tahun baru, 2009...Masa terus berlalu dengan pantas, meninggalkan daku dengan menambahkan angka umurku dan memendekkan jangka hayatku. Oh, Tuhanku apa yang telah ku lakukan selama kau meminjamkan nyawa kepadaku selama 20 tahun??? astaqfirullah...


Ya Allah,
Adakah telah tertunai tanggungjawabku sebagai seorang hamba-Mu dan umat Nabi Junjungan?

Adakah telah tertunai tanggungjawabku sebagai seorang anak?

Adakah telah tertunai tanggungjawabku sebagai seorang sahabat?

Adakah telah tertunai tanggungjawabku sebagai seorang pelajar Muslim?


Ya Allah...ampunilah dosa-dosaku yang menggunung sepanjang hidupku di dunia ini...Berilah petunjuk dan hidayah-Mu kepadaku yang sering lalai dan terleka ini...Selalu memungkiri janji yang telah dilafazkan...Seringkali mengulangi kesilapan yang sama tanpa rasa bersalah...Astaqfirullahal'azim

Ku ingin menggapai cinta dan redha-Mu ya Allah...Bantulah aku....Bantulah daku dalam mujahadah!!

Dengan ini, kukongsikan beberapa perkara yang kuterima daripada seorang sahabat untuk menggapai cinta dan redha Allah... mari kita sama-sama merenung dan mengamalkannya....


-Tidak akan ada 2 cinta dalam satu hati.

-Apabila kita cinta kepaad Allah akan hadir seribu cinta manusia yang juga mencintai Allah.

-Tidak perlulah kita susah-susah mencari cinta manusia. Cukuplah dgn cinta Allah.

-Hati kita bila dah terlekat dengan seseorang, kita akan teringat kepadanya setiap masa.. tiada masa untuk mengingati Allah. Bila ada masalah barulah mencari Allah. Bila ada masalah dengan pasangan, baru nak mengadu pada Allah.Bila bahagia, lansung tak ingat kepada Allah.

-Apabila hubungan kita dengan Allah kuat, firasat kita juga akan kuat.Maksudnya apabila sesuatu perkara yang tidak baik berlaku dan akan berlaku, kita akan dapat merasainya. Kita akan sentiasa mendapat petunjuk dari Allah.

-Setiap hari, berdoalah dengan ikhlas untuk mendapat petunjuk dalam setiap perbuatan.

-Sebenarnya sebelum berdoa, Allah sudah tahu isi hati kita. Apa yang kita nak dan Allah tahu hamba yang mana betul-betul ikhlas dalam berdoa....Berdoalah dan mengadulah kepadanya dengan rendah diri dan penuh pengharapan….


“kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan ) di akhirat adalah sedikit sahaja” (At-taubah:39)


“kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan”.(Ali-Imran: 185)


“adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih, maka mereka di dalam taman (syurga) bergembira”. (ar-Rum;15)

Monday, December 29

MUHARAM

punya nissa Pictures, Images and Photos

MUHARAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

PERISTIWA-PERISTIWA PENTING

1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.
10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

  1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
  2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
  3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
  4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
  5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
  8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
  9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
  10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
  11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
  12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
  13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
  14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
  15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  16. Allah menjadikan 'Arasy.
  17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
  18. Allah menjadikan alam.
  19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
  20. Nabi Isa diangkat ke langit.
Antara amalan disunatkan pada bulan Muharam:
  1. Berpuasa. Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun.Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.
  2. Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
  3. Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3X
  4. Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3X
Empat belas perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram):

  1. Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.

  2. Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.

  3. Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.

  4. Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.

  5. Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.

  6. Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.

  7. Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.

  8. Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."

  9. Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.

  10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000X. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.

  11. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11X.

  12. Membaca "has biallahhu wa nik mal wa keel, nikmal maula wa nikmannaseer". Fadilatnya - Tidak mati pada tahun ini.

  13. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.

  14. Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.
p/s: Insya Allah berkesan dengan izin Allah...

Rujukan: http://www.ashtech.com.my/bulanislam/Muharam.html

Thursday, December 25

HARI INI

Salam kepada semua...

HARI INI adalah hari cuti sempena Hari Krismas. Baru 4 hari balik kampus dari bercuti semester selama sebulan, dah pun cuti. Kelas hanya 3 hari minggu ni. Bukan hanya HARI INI cuti, cuti selama 5 hari berturut-turut. Kelas pada hari Jumaat diawalkan dan di'pack'kan dalam 3 hari kuliah itu. Semasa cuti lagi dah fikirkan situasi yang akan dihadapi ni kerana cuti agak panjang hanya selepas beberapa hari balik ke kampus. Tapi nasib baik la sudah ada agenda yang telah dirancang yang mana ku mesti ikuti sebab ianya adalah pengalaman pertamaku. Ku tunggu-tunggu kedatangan dan ketibaan hari itu. Tapi fikir jugak nak buat apa sebelum tu sebab rasa macam tak de kerja. Yela, kelas pun baru 3 hari. Macam tak banyak kerja lagi la awal-awal ni.

HARI INI, Allah hadapkan aku dengan satu situasi yang sukar untuk kuceritakan. Bila diingat-ingat balik apa yang telah berlaku kepada diriku hari ini terasa sangat kelakar dan susah untuk diceritaka kepada orang lain. Hanya tuan punya badan yang melaluinya dapat menghayati kelucuannya. Hehe. Perkara yang 'dirancang' saat-saat akhir dan keputusan on the spot agak memberatkan kepala ku buat seketika. Banyak yang difikirkan dan dipertimbangkan. Sehinggakan tidak jadi untuk buat satu apa pun kerja. Akhirnya aku bertindak untuk dikatakan berusaha dan berikhtiar walaupun hasilnya nanti mengecewakan. Sebelum ia berlaku, aku berdoa dan bertawakal, berserah sepenuhnya ke Hadrat Ilahi yang Maha Mengetahui dan Maha Merancang. Betul la, manusia merancang dan berusaha namun hanya Dia yang Maha Tahu segala-galanya. Walaupun kita berusaha dan berserah segalanya kepada Allah agar apa yang kita impikan menjadi kenyataan dan sesuatu perkara tu berlaku selari dengan keinginan kita. Apabila Allah berkata "KUN FAYAKUN", maka jadilah ia. Namun sebelum itu aku telah betulkan niat dan redha atas apa yang Allah akan tentukan dan takdirkan nanti.

Ya, HARI INI aku telah menerima cubaan dan ujian darinya. Alhamdulillah aku berjaya menemui hikmahnya. Sesuatu perkara itu tidak akan berlaku tanpa keizinan dari-Nya walaupun kita sebagai manusia berusaha untuk mencapai keinginan kita. Jika Dia tidak mengizinkan dan perkara yang berlaku itu tidak seperti yang kita mahukan, terima lah ia sebagai satu ujian dari Allah dan semestinya terselit hikmah di sebaliknya. Dan hikmah itu bergantung kepada kita untuk mencarinya dan belajar dari hikmah tersebut. Itulah indahnya ujian dari Allah andai manusia redha dengan setiap ketentuannya dan belajar dari hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Ujian merupakan platform untuk seseorang hamba Allah itu menambah imannya ataupun dia tidak akan mendapat apa-apa dari ujian yang berlaku, malah meruntuhkan iman seseorang, nauzubillah.

"..apakah kamu mengira kami membiarkan kamu untuk mengatakan sesungguhnya kami telah beriman sedangkan kamu belum diuji.."
(Al-Ankabut:2)
"...Dialah yang menjadikan kematian dan kehidupan itu untuk menguji di antara kamu siapakah yang terbaik amalannya.."
(Al-Mulk:2)

Sama-samalah kita berdoa dan istiqomah memohon kepada-Nya agar Allah beri kekuatan kepada kita di saat ujian melanda dan dia timpakan ujian kepada kita atas kemampuan diri kita sendiri.

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.."
(Al-Baqarah:284)

AMIIIN

nasihat

TRAILER "SANG MURABBI"

Friday, December 12

DUA UMAR

Umar Al-Khattab adalah Amirul Mukminin, khalifah kedua selepas khalifah Abu Bakar As-Siddiq. Beliau terkenal dengan seorang khalifah yang adil dan pernah berkata, "Kalau orang itu kenyang, akulah orang terakhir yang akan kenyang. Kalau orang itu kelaparan, akulah orang pertama yang merasai kelaparan itu." Umar Al-Khattab terkenal dengan seorang khalifah yang suka meronda pada waktu malam. Pada suatu malam, setelah lama beronda, beliau berhenti rehat dan bersandar pada sebuah tembok rumah kecil di hujung Kota Madinah. Pada ketika itu, fajar semakin menyinsing. Kemudian, sayup-sayup kedengaran suara dua wanita di dalam sebuah rumah kecil. Berbualan itu adalah antara seorang ibu dengan anak perempuannya. Dua wanita tersebut sedang berdebat keran si anak tidak bersetuju dengan ibunya yang ingin mencampurkan susu perahan dengan air.

Ibunya berkata, "Campurkanlah susu itu dengan air!"

Anaknya pula membalas, "Amirul Mukminin melarang susu campuran."

"Khalifah Umar tidak melihat kita. Dia mungkin tidak akan mengetahui perbuatan kita!" balas ibunya.

Kemudian anaknya pula menjawab, "Wahai ibuku, jika benarpun Amirul Mukminin tidak mengetahui perbuatan kita tetapi Allah melihat kita. Sungguh demi Allah aku tidak akan melakukannya. Allah juga melarang perbuatan itu."

Kata-kata anak gadis itu menyejukkan hati Umar yang sedang mendengar perbualan tersebut. Jawapan yang berpaksikan kejujuran dengan keimanan, ketaatan kepada Allah dan perasaan yang diawasi oleh Allah. Setelah itu, beliau berlalu untuk menuju ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat Subuh. Apabila beliau kembali ke rumahnya, beliau masih lagi teringat-ingat akan pernyataan gadis tadi. Beliau kemudiannya memanggil anaknya yang bernama 'Ashim, yang ingin berkahwin. Umar menceritakan peristiwa awal pagi tadi yang telah dilaluinya. Beliau menyarankan anaknya untuk pergi ke rumah gadis tersebut. Beliau berkata, "Wahai anakku, pergilah dan nikahilah dia. Aku tidak melihatnya kecuali mendapatkan keberkatan. Semoga dia melahirkan zuriat yang memimpin Arab."

'Ashim kemudiannya menikahi gadis miskin yang wara' itu yang bernama Ummu Ammarah binti Sufyan bu Abdullah bin Rabiah ats-Tsaqafi. Kemudian, lahirlah puteri mereka yang digelar Ummu 'Ashim. Ummu 'Ashim berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan. Daripada pernikahan ini, lahirlah Umar bin Abdul Aziz, seorang khalifah yang zuhud, wara' dan bertaqwa. Di dalam diri Umar bin Abdul Aziz mengalir darah Umar bin Al-Khattab.

Kedua-dua Umar ini telah mengajarkan kepada kita banyak perkara. Antaranya, kesederhanaan dalam limpahan harta dan jawatan yang besar dan keteladanan seorang pemimpin. Mereka tidak hanya berbicara, tetapi juga menjadi pelaku pertama apa yang telah diperkatakan. Mereka betul-betul berpegang dengan ayat Allah dalam surah As-Soff ayat 3 yang bermaksud,
"Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu perkatakan sesuatu yang tidak kamu melakukannya."(As-Soff:3).
'Semakin jauh pemimpin dari keteladanan, semakin jauh juga rakyat daripada kepatuhan.'(rujukan). Kemudian, al-itsar (mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri). Banyak kali telah kita dengar cerita rondaan malam yang telah dilakukan oleh Umar Al-Khattab dan terdapat sebuah peristiwa Umar dengan seorang ibu yang memasak batu untuk mendiamkan anak-anaknya yang sedang menangis kelaparan. Ini bermakna, bukan sekali beliau melakukan rondaan malam. Ini semata-mata dilakukan untuk menjaga kebajikan rakyatnya. Marilah kita sama-sama mengambil pengajaran daripada kisah ini.

+++Rujukan: Buku BELAJAR DARI DUA UMAR (Hepi Andi Bastoni)+++

Thursday, December 11

salam muqaddimah

assalamualaikum kepada semua...
selamat datang ke teratak maya saya yang bernama "CINTAILAH ILAHI"...
saya mengambil semangat dan kegigihan sahabat-sahabat yang telah lama 'berblog'...rendah diri rasanya huhu tetapi tidak mengapa semoga saya dapat belajar di sahabat-sahabat semua dan saya berharap semoga sesiapa yang ziarah blog saya ini akan dapat 'sesuatu' dan sampaikan kepada orang lain, insya Allah..."YANG BAIK DIJADIKAN SEMPADAN DAN YANG BURUK DIJADIKAN TAULADAN"
wassalam