Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
|
26 Jul 2012
|
شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ
ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ
وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ وَمَن
ڪَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۗ
يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ
وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا
هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ
Maksud: Bulan Ramadan yang
diturunkan padanya Al-Quran, menjadi petunjuk bagi manusia, dan
menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan
(menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu,
sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau
mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa ; (Al-Baqarah :185)
Petikan ayat ini bukan sahaja menegaskan wajib berpuasa
dibulan Ramadan. Bulan yang mulia ini juga dipilih masa yang paling
munasabah diturunkan Al Quran kitab petunjuk, keterangan-keterangan dan
penjelasan kepada petunjuk, serta menegaskan pemisah yang mebezakan
diantara dua perkara yang bertentangan. Ia bagi menentukan benar dan
salah, adil dan zalim, petunjuk dan kesesatan daripada Allah Pencipta
Alam Yang Maha Mengetahui segala-galanya dan bersifat dengan segala
sifat kepujian.
Ibadat puasa bukan hanya sekadar ibadat yang terlalu
besar pahalanya, tidak saperti ibadat lain yang dinyatakan pahala
sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda.
Allah menyimpan puasa itu disisinya dan berjanji untuk diserahkan pada
hari qiamat kelak. Ibadat puasa juga adalah tarbiyah diri dengan sifat
ikhlas dan kemuncaknya membuahkan taqwa yang menentukan nilai harga
diri manusia disisi Allah. Menjelaskan bahawa martabat manusia bukannya
keturunan, bangsa, pangkat, ilmu, harta dan warna kulit.
Apabila berpuasa dengan ikhlas bermakna kesediaan patuh
kepada Allah di atas sifat hamba, sehingga meninggalkan makan minum
dan kepuasan hawa nafsu walaupun dihalalkan dimasa yang lain. Walaupun
semua perkara yang membatalkan puasa itu adalah rukun hidup manusia
secara tabie'nya. Kepatuhan menunaikan perintah itu secara
memperhambakan diri kepada Allah, yang berbeza dengan patuh kepada
sesama makhluk saperti ibubapa, ketua, raja dan pemimpin. Menunjukkan
bahawa ketaatan kepada Allah adalah mutlak. Adapun ketaatan kepada
sesama makhluk pula bersyarat selagi tidak berlawanan dengan perintah
Allah. Ia menunjukkan bahawa hubungan hamba dengan Allah adalah Maha
tinggi, berbeza dengan hubungan rakyat dengan raja dan pemimpin,
hubungan pekerja dengan majikan, hubungan anak dengan ibu bapa.
Adalah menjadi hikmat paling besar Allah memilih bulan
ramadan, bahawa Al Quran diturunkan seluruhnya ditempat mulia yang
ditentukannya. Ada kalangan para ulama yang menamakannya dengan Bait Al
Izzah dan ada yang menamakanya dengan Mawaqei’ Al Nujum. Kemudian Al
Quran diturunkan melalui wahyu oleh Malaikat Jibril A.S secara
berperingkat mengikut sebab dan keperluan yang diatur supaya mendidik
generasi awal yang menerimanya dengan cara paling berkesan. Ini kerana
mereka menjadi contoh kepada seluruh manusia.
Al Quran adalah kalam Allah. Sifatnya yang wajib
dinyatakan ke dalam bahasa Arab, bahasa pilihan Allah di dunia dan pada
hari Qiamat. Al Quran juga adalah petunjuk daripada Allah kepada
manusia dalam semua perkara yang berkait dengan kejadian mereka dan
peranan mereka di alam dunia dengan cara yang betul. Allah memilih
manusia berperanan dibumi kerana sifat kejadian mereka dan menguji
kesetiaan mereka kepada Allah dengan kemampuan jasad, roh dan akal.
Dengan kemampuan ini manusia mampu beribadat dibumi dan memakmurkan
segala yang lain dengan petunjuk Allah dan kemampuan akal dan ilmu yang
ada kepada mereka.
Ada kalangan manusia yang menerima perintah Allah itu
dengan Islam (menyerah diri) dan Iman (percaya). Namun ramai kalangan
manusia yang tidak bersyukur, lalu menjadi kufur dan sombong menolak
petunjuk Allah dengan mencipta cara yang merosakkan diri manusia dan
alam kelilingnya. Maka berlakulah perlawanan sengit dalam kalangan
manusia itu. Rasulullah S.A.W. terpaksa berdepan dengan pertembungan
yang membawa kepada perpecahan yang wajib berlaku, bermula daripada
perbalahan sehingga terpaksa berperang kerana adanya kalangan manusia
yang melampau. Maka menjadi ujian diantara hubungan dengan Allah yang
lebih diutamakan atau hubungan dengan manusia yang wajib dijaga dengan
semangat kekeluargaan dan persaudaraan.
Bulan ramadhan dipilih berlakunya peristiwa Badar dan
Fathu Makkah. Rasulullah S.A.W. dituduh menjadi sebab perpecahan dalam
satu bangsa dan satu keluarga kerana tidak bersedia menerima tawaran
menjadi Raja Makkah atau pemimpin bersama harta kekayaan dengan syarat
yang ditetapkan supaya meninggalkan Islam, sama ada semua atau
sebahagian. Puncanya para pemimpin Makkah tetap mempertahankan sistem
jahiliyah dan menolak petunjuk Allah yang diamanahkan kepada Rasulullah
S.A.W. menyampaikannya supaya dilaksanakan kepada seluruh manusia di
seluruh dunia sehingga hari qiamat.
Allah mewajibkan kepada Rasulullah S.A.W. mencari tempat
hijrah. Akhirnya berjumpa Madinah dan berbagai kaumnya yang bersedia
menerima Islam sehingga ditegakkan negaranya. Maka Islam yang adil
kepada seluruh manusia masyarakat majmuk dapat ditunjukkan secara nyata
dan terbuka. Tiba-tiba para pemimpin Makkah berketuakan Abu Jahal
membawa bala tentera menyerang Rasulullah dan para sahabatnya, kerana
Islam yang diamalkan itu mendedahkan kejahatan dan kesesatan
penentangnya. Kedua-dua belah pihak bertempur di tempat bernama Badar
dan berlaku dibulan ramadhan.
Abu Jahal berdoa kepada Allah supaya membinasakan Muhamad
yang dituduh membawa ajaran sesat dan memecahbelahkan keluarga dan
bangsa. Rasulullah S.A.W. juga berdoa dengan munajat memohon
pertolongan supaya Islam dan penganutnya diselamatkan. Kedua-dua belah
pihak mengaku benar dan berdoa.
Akhirnya Allah mengurniakan kemenangan kepada Rasulullah
S.A.W. dan para sahabat yang setia dalam keadaan terlalu kecil
jumlahnya dan tidak mencukupi kelengkapan peperangannya. Bala tentera
Musyrikin Makkah dikalahkan. Abu Jahal pemimpin utama dan ramai
kalangan para pemimpin dibunuh dan ramai yang ditawan dengan hina
walaupun jumlahnya berlipat kali ganda dan lengkap bersenjata.
Allah menamakan hari Badar dengan Hari Furqan (pemisahan
diantara dua pihak), daripada satu bangsa dan satu keluarga. Menjadi
peristiwa yang menguji diantara perasaan beriman dan cintakan Allah
bertembung dengan perasaan kasihkan keluarga dan bangsa. Maka Allah
menentukan supaya hubungan dengan Allah mengatasi hubungan dengan
sesama manusia. Walaupun kalangan paling hampir hubungan
kekeluargaannya. Allah memberi sanjungan paling tinggi kepada mereka
yang berjaya dalam ujian perasaan dan peperangan dalam peristiwa Badar
dengan firmannya :
يا أهل بدر اعملوا ما شئتم , قد غفرت لكم .
(wahai Ahli Badar! Lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu, kerana aku telah mengampunkan kamu).
Di bulan ramadhan juga berlakunya Fathu Makkah (Makkah di bebaskan).
Apabila negaranya yang dipimpin oleh Abu Sufian (bapa mertua Rasulullah
S.A.W.) yang dilantik selepas terbunuhnya Abu Jahal dalam peperangan
Badar. Apabila pengikut Abu Sufian mencabuli perjanjian damai
(Hudaibiyah) dan apabila qabilah yang bernaung di bawah kerajaan Islam
diserang oleh kabilah yang berpihak kepada Makkah. Maka Rasulullah
S.A.W. menggerakkan bala tentera Islam menyerang Makkah (tanah airnya
sendiri) yang dikuasai oleh keluarga dan bangsanya sendiri, bukannya
bangsa asing atau makhluk asing. Akhirnya Abu Sufian dan pengikutnya
menyerah kepada Islam dan masuk Islam. Rasulullah S.A.W. mengisytiharkan
pengampunan umum yang tidak diduga oleh mereka yang pernah berlaku
zalim terhadap Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya, menyebabkan hati
mereka terbuka beramai ramai menerima Islam dengan redha tanpa paksaan.
Semua perkara tersebut adalah hikmat ramadhan yang tinggi
nilainya kepada seluruh alam, khususnya kepada umat Islam. Hidayahnya!
Bahawa Islam yang menyelamatkan diri, keluarga, bangsa dan tanahair.
Maka Islam hendaklah diutamakan dengan melaksanakan rukun puasa
sehingga membuahkan taqwa dan menegakkan Islam diutamakan, perintah
Allah didahulukan, sehingga mengatasi kepentingan diri. Begitulah
makan minum, hawa nafsu yang dihalalkan diketepikan dahulu, apabila
berpuasa kerana Allah dengan ikhlas.
- Hari ni dah masuk hari ke-7 kita berpuasa..Bagaimanakan dengan amalan kita selama 6 hari yang lepas? Adakah bertambah? Atau sama sahaja?? Atau berkurang??? Muhasabahlah wahai diri..Maknakan Ramadhan kali ini, MUNGKIN RAMADHAN KALI INI ADALAH YANG TERAKHIR BUAT KITA?!