BLOGGER TEMPLATES AND Zwinky Layouts »

Wednesday, October 20

Cara Efektif Meninggalkan Dosa

Satu permasalahan yang bersangkutan dengan dosa adalah meninggalkannya. Ya. Ramai yang berhadapan dengan masalah ini. Apakah cara yang terbaik, dan paling berkesan dalam meninggalkan dosa? Mungkin itu satu soalan yang mana jawapannya dinantikan mungkin oleh jutaan manusia yang berhajatkan keredhaan Allah SWT.

Sememangnya, kegusaran terhadap dosa, menandakan keimanan masih lagi punya cahaya.

Maka, dari selaput dosa yang melekit lekat pada jiwa kita, bagaimana hendak keluar daripadanya?

Di sini ada buah idea, untuk sama-sama kita renungkan dan perhatikannya.

Kesilapan utama dalam meninggalkan dosa.

Ramai manusia, apabila berhajat hendak meninggalkan dosa, mereka hanya melihat MENINGGALKAN DOSA semata-mata. Pada saya, ini adalah kesilapan yang fatal dalam meninggalkan dosa.

Maka yang tersemat di dalam kepala, adalah perkara-perkara seperti ‘berhenti, tinggal, jauh,’ dan sewaktu dengannya. Mereka akan perhatikan betapa sukarnya meninggalkan dosa apabila terus disuruh tinggal. Akhirnya, mungkin dapat tinggal beberapa hari, kemudian buat kembali. Ramai yang gagal dalam mendaki ‘gunung ke syurga’, ramainya jatuh kembali.

Jadi bagaimana?

Kebaikan itu, memadamkan keburukan.

Allah SWT berfirman:

“ Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan-kejahatan.” Surah Hud ayat 114.

Silap bagi mereka yang memandang ayat ini dengan maksud berikut: “Buat dosa tak mengapa, asalkan buat baik banyak. Sebab kebaikan-kebaikan kita menghapuskan dosa-dosa kita.”

Salah dan salah.

Ayat ini hakikatnya adalah untuk yang hendak MENINGGALKAN dosa. Bukan alasan untuk yang hendak MEMBUAT LEBIH BANYAK dosa.

Maka jawapan kepada permasalahan di atas, yakni hendak meninggalkan dosa, terkandung di dalam ayat ini. Yakni, buatlah kebaikan. Sesungguhnya kebaikan-kebaikan itu akan memadamkan perasaan ingin melakukan kemungkaran. Hal ini kerana, sifir kehidupan ini mudah, kebaikan dan kejahatan tidak akan dapat bersatu di dalam satu waktu.

Maka kita perhatikan ayat Al-Quran tadi secara penuh:

“Dan dirikanlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.“ Surah Hud ayat 114.

Dan dirikanlah solat. Solat adalah paksi kepada segala kebaikan. Ia adalah tiang agama. Kemudian lihatlah isyarat Allah mengarahkan kita menambah dengan perkara-perkara sunat di dalam firmanNya: dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Kemudian barulah Allah menyebut: Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan-kejahatan.

Maka, resepi utama dalam hendak menguatkan langkahan kita dalam meninggalkan kejahatan dan dosa adalah dengan melakukan kebaikan!

Balang kehidupan. Pengisiannya.

Sekiranya kita hidup 80 tahun, maka yang ada pada kita hanya 80 tahun. Dan apa yang boleh diisi di dalam 80 tahun adalah hanya 80 tahun. Maka di sini kita melihat satu limitasi. Hendaklah kita menganalogikan kehidupan kita ini ibarat cawan. Jika diisi air, ia akan penuh. Bila penuh, apakah kita akan dapat pula mengisi air yang lain? Tidak.

Begitulah konsepnya meninggalkan dosa. Dengan melakukan kebaikan, kita telah meng’isi’ kehidupan kita. Apakah semasa kita melakukan kebaikan, kita melakukan kejahatan yang hendak kita tinggalkan tadi? Semestinya tidak. Sebab waktu untuk melakukan kejahatan, telah kita isikan dengan melakukan kebaikan.

Maka lihatlah betapa indahnya Allah SWT menyatakan kerugian manusia di dalam Surah Al-’Asr, dan mengecualikan kerugian itu terhadap mereka yang telah berjaya mengisinya dengan baik.

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.“ Surah Al-’Asr ayat 1-3.

Tidakkah anda memerhatikan?

Alihkan perhatian, tambahkan kekuatan.

Semestinya, mengalihkan perhatian dari dosa yang kita lakukan adalah cara yang terbaik. Tetapi kita hendak alihkan perhatian kita kepada apa? Di sinilah perlunya kita memahami akan keperluan mengisi kehidupan dengan kebaikan-kebaikan.

Jangan bohong dengan saya dengan menyatakan: “Aku dah buat banyak benda baik, tapi still ada masa gak nak buat benda jahat ni.”

Bohong dan bohong. Hakikatnya, Allah menciptakan benda baik itu banyak dan melebihi 24 jam sehari jika hendak melaksanakan semua. Hatta ada manusia itu, terpaksa mengorbankan waktu tidurnya kerana hendak melakukan lebih banyak kebaikan.

Maka di manakah waktu melakukan dosa?

Tambahan, sekiranya kita banyak melakukan kebaikan, maka jiwa kita akan terisi, hati kita akan disirami siraman yang menghidupkan peribadi. Kehidupan akan bercahaya, kerana kita berhubungan dengan Ilahi. Kekuatan akan muncul di situ. Kekuatan yang tiada taranya.

Tidakkah anda melihat, hendakkan ketenangan jiwa, apakah yang perlu dilakukan terlebih dahulu?

“Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang.” Surah Ar-Ra’d ayat 28.

Bukankah disebut: “Bahawa dengan mengingati Allah…” Terlebih dahulu?


Penutup: Melangkah hari baru tanpa dosa. Susunlah kehidupanmu!

Allah Maha Penyayang. Walaupun anda dan saya berdosa, anda dan saya masih diizinkanNya hidup sampai ke hari ini. Walaupun anda berdosa, anda masih diizinkan membaca artikel saya ini dan membaca idea saya ini. Walaupun saya berdosa, saya masih diizinkan menulis artikel ini dan diberikan idea ini. Maka sekarang ini, bagaimanakah kita membalas kasih sayang Allah SWT?

Marilah kita melangkah hari baru dengan berusaha mati-matian mengisi kehidupan kita dengan kebaikan.

Di situlah waktunya kita meninggalkan kejahatan.

Hakikatnya, bergerak kepada Allah dengan bergerak mengingkariNya itu ibarat satu bergerak ke utara dan satu lagi bergerak ke selatan. Selangkah kita kepada Allah, selangkah kita telah meninggalkan kejahatan. Selangkah kita ke arah kemungkaran, hakikatnya kita telah selangkah meninggalkan Allah SWT.

Tidakkah kita ini manusia yang memerhatikan?

Marilah kita isi kehidupan!

~Hilal Asyraf
http://www.langitilahi.com

Saturday, October 2

La Tahzan

Jangan Bersedih...Cinta ALLAH dan Rasulullah Menjamin Kebahagiaan

Jangan Bersedih...Redha Dengan Anugerah Allah Membuat Anda kaya di Dunia

Jangan Bersedih...Allah Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat serta Rahmatnya
yang Maha Luas

Jangan Bersedih...Semata-mata disebabkan Anda Berbeza dengan Orang lain kerana setiap kejadian Allah itu ada kelebihan tersendiri dan anda juga ada kelebihan yang orang lain tidak memiliki

Jangan Bersedih...Bila Disakiti, Dicela, Direndahkan atau Dizalimi kerana setiap perkara yang berlaku adalah dugaan dari Yang Maha Esa dan Allah ingin bagi kita 'sesuatu' dengan musibah itu

Jangan Bersedih Sesungguhnya Setelah Kesusahan Akan Ada Kemudahan, sesungguhnya setiap kesusahan itu akan ada kemudahannya

Jangan Bersedih...Kerana Kesedihan Anda akan Membuat Anda tidak dapat membangunkan dan memperbaiki diri

Jangan Bersedih...Atas Perilaku Manusia Terhadapmu Tetapi ambillah pengajaran dari tingkah laku mereka itu

Jangan Bersedih...Allah Tidak Akan Mensia-siakan Pengorbananmu, walaupun manusia tidak memandangnya. Ingatlah Allah itu ada bersama Kita dan melihat kita...dan setiap perkara yang baik mahupun buruk ada hikmahnya

Jangan Bersedih, berbahagialah dengan hidup anda hari ini kerana mungkin tiada esok lagi untuk Anda



LA TAHZAN, INNALLAHA MA'ANA